Monday, February 1, 2016

KEM KEPIMPINAN PENGAWAS PSS 2016

     Pada 29 Januari hingga 31 Januari 2016 bertempat di Pusat Kokurikulum Melaka, Kg.Lancang, Merlimau,Melaka telah berlangsung  Kem Kepimpinan Pengawas Pusat Sumber (PSS). Kem ini telah menggabungkan 117 orang pengawas Pusat Sumber dari SMK Tun Haji Abdul Malek dan SMK Malim selama 3 hari 2 malam. Menurut Pengetua SMK Tun Haji Abdul Malek, Encik Razali bin Ali, program ini merupakan program yang julung kalinya yang diadakan secara kolaborasi bersama SMK Malim bagi menjana idea-idea baharu dalam memperkasakan pusat sumber sekolah antara kedua-dua buah sekolah ini.

     Program ini dilihat sebagai satu program yang baik dalam usaha mendedahkan semua pengawas pss tentang bidang tugas mereka sebagai seorang pengawas pusat sumber sekolah yang berkesan di samping melahirkan seorang pemimpin yang berdedikasi dan amanah dalam menjalankan tugas.

     Pada majlis perasmian program ini, YB Datuk Roslan Bin Ahmad (ADUN Merlimau) dalam ucapannya sangat menghargai kehadiran para pelajar ke daerah Merlimau dan menggalakkan lebih banyak sekolah mengadakan kolaborasi seperti ini dalam pelbagai bidang lain pada masa hadapan. Dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin di sekolah, beliau berharap para pelajar dapat menimba pengetahuan dan menggilap kepimpinan di dalam Kem ini sekaligus dapat menjalankan tugas harian sebagai seorang pengawas Pusat Sumber yang berkaliber di sekolah nanti. Di akhir majlis perasmian, YB Datuk telah berbesar hati menyampaikan sedikit sumbangan kepada para peserta kali ini.

     Menurut Pengarah program ini, Puan Aziah binti Bidin, Kem sebegini dapat menyelitkan aktiviti-aktiviti fizikal dan ilmu sains sosial seperti Pandu Arah, Rentas Halangan dan Meredah Hutan dalam usaha membimbing para peserta perkhemahan tentang komunikasi yang berkesan.  Komunikasi berkenaan sangat diperlukan dalam organisasi pengawas PSS di samping dalam berkomunikasi bersama para pelanggan PSS kelak.

            Diharapkan usaha sebegini akan diteruskan dengan kolaboratif lebih banyak sekolah sekitar Melaka.

No comments:

Post a Comment